23 Oktober 2011

Program Kolaborasi Rumahku Syurgaku & Kerohanian 2011

Pada 04 Oktober yang lalu, PPKI SK Parit Penghulu berkolaborasi bersama PPKI SK Sungai Rambai dan PPKI SK Batu Gajah bagi menganjurkan Program Kolaborasi Rumahku Syurgaku & Kerohanian 2011 bertempat di Kem Modal Insan Parit Penghulu, Sungai Rambai. Objektif program ini diadakan adalah untuk mempertingkatkan hubungan yang erat dan amalan kerjasama ibu bapa dengan pihak sekolah dalam memberi pendidikan yang berkualiti kepada murid, meningkatkan kesedaran murid dan ibu bapa akan kepentingan ilmu di masa hadapan, menggalakkan ibu bapa melibatkan diri secara aktif dalam proses pendidikan anak-anak mereka dan meningkatkan ilmu fardu kifayah di kalangan murid-murid dan ibu bapa. Program ini terbahagi kepada 2 slot cermah  iaitu Slot 1: Rumahku Syurgaku dan Slot 2: Bersuci dan Bab Solat. Penceramah bagi Slot 1 ialah Ustaz Md. Nizam bin Ali manakala penceramah bagi Slot 2 ialah Ustaz Ismail bin Moin. Majlis penutup dimulakan dengan ucapan daripada Guru Besar SK Parit Penghulu, Puan Hajah Norhayati binti Abu Bakar, diikuti dengan ucapan Yang Berhormat Datuk Hassan bin Rahman ADUN Sungai Rambai, Melaka dan diakhiri dengan penyampaian sijil dan cenderhati. Selepas jamuan makan tengahari murid-murid, ibu bapa dan guru-guru solat Zohor berjemaah sebelum pulang ke rumah masing-masing. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program kolaborasi ini.

 Ustaz Md. Nizam bin Ali (penceramah Slot 1) menerima cenderhati daripada Cikgu Abu Bakar (SK Sungai Rambai)

Ustaz Ismail bin Moin (penceramah Slot 2) menyampaikan ceramah berkaitan dengan bab bersuci dan solat dengan penuh semangat


Ibu bapa yang hadir memberi tumpuan kepada ceramah yang disampaikan oleh Ustaz

YB Datuk Hassan bin Rahman (ADUN Sungai Rambai) menyampaikan sijil penyertaan kepada Cikgu Sapiah binti A. Kadir (SK Parit Penghulu)

Guru Besar SK Parit Penghulu, Puan Hajah Norhayati binti Abu Bakar menyampaikan cenderhati kepada YB Datuk  Hassan bi Rahman (ADUN Sungai Rambai) di atas kesudian beliau merasmikan majlis penutup program kolaborasi
u
Guru-guru dan murid-murid bergambar kenangan bersama YB Datuk Hassan bin Rahman (ADUN Sungai Rambai) setelah berakhirnya majlis penutup program kolaborasi

Jemputan Persembahan Tarian Rampaian

Pada 1 Oktober yang lalu, seramai 9 orang murid PPKI SK Parit Penghulu dan 4 orang murid PPKI SMK Sungai Rambai telah menerima jemputan daripada Kolej Komuniti Jasin, Melaka untuk mengadakan persembahan tarian rampaian pada Majlis Perasmian Sempena Program Rakyat Patriotik (RaPaT 2011). Murid-murid telah menjalani latihan selama seminggu sebelum persembahan tarian rampaian dipersembahkan kepada umum. Tarian rampaian ini terdiri daripada gerak tari tarian zapin dan tarian joget. Jutaan terima kasih kepada pihak Kolej Komuniti Jasin kerana sudi menjemput kami bagi memeriahkan lagi majlis perasmian tersebut. Jutaan terima kasih juga kepada semua guru-guru, pembantu pengurusan murid dan murid-murid yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan persembahan ini.



Antara gerak tari  yang telah dipersembahakan oleh murid-murid

Bergambar kenang-kenangan bersama guru-guru selepas Majlis Perasmian RaPat selesai

24 September 2011

Program Selingan PPKI SKPP 2011

Pada 13 dan 15 September yang lalu, PPKI SK Parit Penghulu telah menjalankan 2 aktiviti selingan di luar bilik darjah bagi mengelakkan murid-murid membuat bising semasa peperiksaan awam UPSR sedang berlangsung. Aktiviti-aktiviti tersebut adalah program rekreasi di Laman Belia & Dataran Sungai Rambai dan marhaban di rumah Datuk Hasan bin Abd Rahman (Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Rambai), rumah Encik Hussin bin Manap (bapa murid) dan Puan Khairani binti Salim (guru). Pelbagai aktiviti yang dijalankan semasa program rekreasi di Laman Belia & Dataran Sungai Rambai antaranya bermain futsal, berjalan berpasangan dengan kaki diikat, membawa bola tanpa menggunakan tangan dan menaiki bot sambil menyusuri sungai hingga ke pesisiran Laut Selat Melaka. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan kedua-dua program selingan ini.

Gambar-gambar Program Rekreasi di Laman Belia & Dataran Sungai Melaka (13 September 2011)










Gambar-gambar Program Marhaban (15 September 2011)








20 September 2011

Sambutan Hari Raya Aidilfiti PPKI SKPP 2011

Pada 06 September yang lalu, PPKI SK Parit Penghulu telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2011 bersama ibu bapa murid-murid PPKI SKPP. Majlis ini diadakan untuk  mewujudkan suasana hari raya di kelas PPKI dan meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekolah bersama ibu bapa murid bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim di kalangan ibu bapa dan guru serta meraikan kedatangan Syawal dengan program marhaban (memuji dan berselawat ke atas Nabi Muhammad saw). Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Puan Azizah binti Md. Junap (GPK Pendidikan Khas), diikuti dengan bacaan doa oleh bapa murid iaitu  Encik Abd. Latif bin Khamis, seterusnya ucapan daripada Encik Nazaruddin bin Buang iaitu Pengerusi Badan Kebajikan Ibu Bapa Guru Pendidikan Khas (BKIBGPK) SK Parit Penghulu dan diikuti ucapan daripada wakil Guru Besar, Puan Hjh Norfiah binti Abd. Hamid (GPK Kurikulum). Majlis diteruskan dengan selawat dan marhaban oleh ibu bapa, guru-guru dan murid-murid, diikuti dengan majlis penyampaian hadiah program Ihya' Ramadan 1432H dan diakhiri dengan jamuan hari raya. Murid-murid sangat seronok dan teruja dengan kehadiran ibu bapa mereka ke sekolah bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan majlis bersurai pada pukul 12.30 petang. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua ibu bapa yang hadir bagi memeriahkan majlis tersebut dan guru-guru serta pembantu-pembantu yang bekerja keras bagi menjayakan majlis sambutan hari raya ini.

Puan Hjh Norfiah binti Abd. Hamid (atas) dan Encik Nazaruddin bin Buang sedang menyampaikan ucapan di majlis sambutan Hari Raya Aidlfitri. 



Murid-murid mengalunkan selawat dan marhaban dengan bersemangat bersama guru-guru dan ibu bapa.



Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang program Ihya' Ramadan 1432 H dan murid-murid yang berjaya menyempurnakan ibadah puasa 29 hari di bulan Ramadan.




Antara ibu bapa yang hadir bagi memeriahkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Murid-murid bergambar kenangan bersama-sama sebelum majlis sambutan bermula dengan berpakaian baru.

17 September 2011

Lawatan Ke Mini Karnival Pendidikan Khas SK Sungai Rambai

Pada 16 Ogos yang lalu, kami warga PPKI SK Parit Penghulu telah mengadakan lawatan ke Mini Karnival Pendidikan Khas SK Sungai Rambai. Lawatan ini diadakan untuk mengeratkan lagi silaturrahim antara kami dengan PPKI SKSR, memberi sokongan moral kepada mereka dan memeriahkan lagi Mini Karnival Pendidikan Khas yang dianjurkan bersama dengan guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka. Terdapat pelbagai aktiviti yang diadakan di Mini Karnival tersebut antaranya pameran hasil kerja murid, info-info berkaitan dengan pendidikan khas, jualan felt keychain, jualan sempena Hari Raya (kad Hari Raya & pelita), tayangan video dan kuiz bagi guru dan murid. Walaupun sedang menjalani ibadah puasa murid-murid PPKI SKPP sangat teruja dan seronok melihat pameran, gerai jualan dan menjawab soalan kuiz yang diberikan.

Muhd. Kamaruddin (PPKI SKPP) sedang mencatat maklumat beliau di dalam buku pelawat yang telah disediakan oleh penganjur.


Murid-murid PPKI SKPP khusyuk melihat hasil kerja murid-murid PPKI SKSR yang diletakkan di gerai jualan seperti pelita, kad hari raya, cekak rambut dan pasu bunga kecil.


Puan Azah (PPKI SKSR) sedang menerangkan bagaimana cara menghidupkan pelita elektronik kepada Muhd Amrul Iman (PPKI SKPP).


Muhd. Roszaimi (PPKI SKPP) sedang menjawab soalan kuiz yang diberikan dengan berhati-hati selepas memperolehi jawapan daripada info-info yang dipamerkan di papan kenyataan.


Puan Zaleha (PPKI SKSR) sedang menunjukkan cara membuat felt keychain kepada Cik Anisah (PPKI SKPP) sambil diperhatikan oleh Puan Sapiah (PPKI SKPP).

GPK SKSR menyampaikan cenderhati kepada Nooraisyah (PPKI SKPP) kerana berjaya menjawab soalan kuiz yang diberikan dengan tepat.


Bergambar kenangan di hadapan tapak Mini Karnival Pendidikan Khas SKSR.

Ceria Merdeka Bulan Patriotik PPKI 2011

Pada 02 Ogos yang lalu, bermulalah program Ceria Merdeka Bulan Patriotik PPKI SK Pari Penghulu 2011 dan berakhir pada 15 September 2011. Program ini adalah usaha yang dijalankan oleh PPKI SKPP untuk memberi pengetahuan yang lebih luas tentang kemerdekaan dan menaikkan semangat patriotik dalam diri setiap murid PPKI SKPP. Selain itu, program ini dapat mengenal dan mengetahui identiti bendera setiap negeri di Malaysia dan memupuk semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan murid-murid. Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan melakar dan meawarnakan mural bendera setiap negeri di Malaysia (guru), mewarna poster yang bertemakan 'Hari Kemerdekaan', '1 Malaysia' & 'Merdeka Raya', melabel negeri-negeri di peta Malaysia & mewarnakan peta tersebut, mencari nama ibu negeri & gelaran bagi setiap negeri di Malaysia dan mencari maklumat tentang Perdana Menteri Malaysia dari Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehinggalah Dato' Sri Haji Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi menjayakn program ini.

Encik Nubaili sedang melakar gambar hidupan laut di dinding kelas PPKI SKPP bagi menceriakan lagi persekitaran kelas.


Cik Rosidah (atas sekali) dan Puan Ani sedang khusyuk mewarnakan lakaran mural bendera Jalur Gemilang dan negeri-negeri di Malaysia.




Puan Norbaite (atas sekali) dan Cik Ifwah sedang mewarnakan lakaran mural yang telah siap dilakar oleh Encik Nubaili dengan berhati-hati.




Murid-murid sedang khusyuk mewarnakan poster 1 Malaysia mengikut daya kretiviti masing-masing bagi mencantikkan poster mereka.