24 September 2011

Program Selingan PPKI SKPP 2011

Pada 13 dan 15 September yang lalu, PPKI SK Parit Penghulu telah menjalankan 2 aktiviti selingan di luar bilik darjah bagi mengelakkan murid-murid membuat bising semasa peperiksaan awam UPSR sedang berlangsung. Aktiviti-aktiviti tersebut adalah program rekreasi di Laman Belia & Dataran Sungai Rambai dan marhaban di rumah Datuk Hasan bin Abd Rahman (Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Rambai), rumah Encik Hussin bin Manap (bapa murid) dan Puan Khairani binti Salim (guru). Pelbagai aktiviti yang dijalankan semasa program rekreasi di Laman Belia & Dataran Sungai Rambai antaranya bermain futsal, berjalan berpasangan dengan kaki diikat, membawa bola tanpa menggunakan tangan dan menaiki bot sambil menyusuri sungai hingga ke pesisiran Laut Selat Melaka. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan kedua-dua program selingan ini.

Gambar-gambar Program Rekreasi di Laman Belia & Dataran Sungai Melaka (13 September 2011)










Gambar-gambar Program Marhaban (15 September 2011)








20 September 2011

Sambutan Hari Raya Aidilfiti PPKI SKPP 2011

Pada 06 September yang lalu, PPKI SK Parit Penghulu telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2011 bersama ibu bapa murid-murid PPKI SKPP. Majlis ini diadakan untuk  mewujudkan suasana hari raya di kelas PPKI dan meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekolah bersama ibu bapa murid bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim di kalangan ibu bapa dan guru serta meraikan kedatangan Syawal dengan program marhaban (memuji dan berselawat ke atas Nabi Muhammad saw). Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Puan Azizah binti Md. Junap (GPK Pendidikan Khas), diikuti dengan bacaan doa oleh bapa murid iaitu  Encik Abd. Latif bin Khamis, seterusnya ucapan daripada Encik Nazaruddin bin Buang iaitu Pengerusi Badan Kebajikan Ibu Bapa Guru Pendidikan Khas (BKIBGPK) SK Parit Penghulu dan diikuti ucapan daripada wakil Guru Besar, Puan Hjh Norfiah binti Abd. Hamid (GPK Kurikulum). Majlis diteruskan dengan selawat dan marhaban oleh ibu bapa, guru-guru dan murid-murid, diikuti dengan majlis penyampaian hadiah program Ihya' Ramadan 1432H dan diakhiri dengan jamuan hari raya. Murid-murid sangat seronok dan teruja dengan kehadiran ibu bapa mereka ke sekolah bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan majlis bersurai pada pukul 12.30 petang. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua ibu bapa yang hadir bagi memeriahkan majlis tersebut dan guru-guru serta pembantu-pembantu yang bekerja keras bagi menjayakan majlis sambutan hari raya ini.

Puan Hjh Norfiah binti Abd. Hamid (atas) dan Encik Nazaruddin bin Buang sedang menyampaikan ucapan di majlis sambutan Hari Raya Aidlfitri. 



Murid-murid mengalunkan selawat dan marhaban dengan bersemangat bersama guru-guru dan ibu bapa.



Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang program Ihya' Ramadan 1432 H dan murid-murid yang berjaya menyempurnakan ibadah puasa 29 hari di bulan Ramadan.




Antara ibu bapa yang hadir bagi memeriahkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Murid-murid bergambar kenangan bersama-sama sebelum majlis sambutan bermula dengan berpakaian baru.

17 September 2011

Lawatan Ke Mini Karnival Pendidikan Khas SK Sungai Rambai

Pada 16 Ogos yang lalu, kami warga PPKI SK Parit Penghulu telah mengadakan lawatan ke Mini Karnival Pendidikan Khas SK Sungai Rambai. Lawatan ini diadakan untuk mengeratkan lagi silaturrahim antara kami dengan PPKI SKSR, memberi sokongan moral kepada mereka dan memeriahkan lagi Mini Karnival Pendidikan Khas yang dianjurkan bersama dengan guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka. Terdapat pelbagai aktiviti yang diadakan di Mini Karnival tersebut antaranya pameran hasil kerja murid, info-info berkaitan dengan pendidikan khas, jualan felt keychain, jualan sempena Hari Raya (kad Hari Raya & pelita), tayangan video dan kuiz bagi guru dan murid. Walaupun sedang menjalani ibadah puasa murid-murid PPKI SKPP sangat teruja dan seronok melihat pameran, gerai jualan dan menjawab soalan kuiz yang diberikan.

Muhd. Kamaruddin (PPKI SKPP) sedang mencatat maklumat beliau di dalam buku pelawat yang telah disediakan oleh penganjur.


Murid-murid PPKI SKPP khusyuk melihat hasil kerja murid-murid PPKI SKSR yang diletakkan di gerai jualan seperti pelita, kad hari raya, cekak rambut dan pasu bunga kecil.


Puan Azah (PPKI SKSR) sedang menerangkan bagaimana cara menghidupkan pelita elektronik kepada Muhd Amrul Iman (PPKI SKPP).


Muhd. Roszaimi (PPKI SKPP) sedang menjawab soalan kuiz yang diberikan dengan berhati-hati selepas memperolehi jawapan daripada info-info yang dipamerkan di papan kenyataan.


Puan Zaleha (PPKI SKSR) sedang menunjukkan cara membuat felt keychain kepada Cik Anisah (PPKI SKPP) sambil diperhatikan oleh Puan Sapiah (PPKI SKPP).

GPK SKSR menyampaikan cenderhati kepada Nooraisyah (PPKI SKPP) kerana berjaya menjawab soalan kuiz yang diberikan dengan tepat.


Bergambar kenangan di hadapan tapak Mini Karnival Pendidikan Khas SKSR.

Ceria Merdeka Bulan Patriotik PPKI 2011

Pada 02 Ogos yang lalu, bermulalah program Ceria Merdeka Bulan Patriotik PPKI SK Pari Penghulu 2011 dan berakhir pada 15 September 2011. Program ini adalah usaha yang dijalankan oleh PPKI SKPP untuk memberi pengetahuan yang lebih luas tentang kemerdekaan dan menaikkan semangat patriotik dalam diri setiap murid PPKI SKPP. Selain itu, program ini dapat mengenal dan mengetahui identiti bendera setiap negeri di Malaysia dan memupuk semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan murid-murid. Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan melakar dan meawarnakan mural bendera setiap negeri di Malaysia (guru), mewarna poster yang bertemakan 'Hari Kemerdekaan', '1 Malaysia' & 'Merdeka Raya', melabel negeri-negeri di peta Malaysia & mewarnakan peta tersebut, mencari nama ibu negeri & gelaran bagi setiap negeri di Malaysia dan mencari maklumat tentang Perdana Menteri Malaysia dari Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehinggalah Dato' Sri Haji Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi menjayakn program ini.

Encik Nubaili sedang melakar gambar hidupan laut di dinding kelas PPKI SKPP bagi menceriakan lagi persekitaran kelas.


Cik Rosidah (atas sekali) dan Puan Ani sedang khusyuk mewarnakan lakaran mural bendera Jalur Gemilang dan negeri-negeri di Malaysia.




Puan Norbaite (atas sekali) dan Cik Ifwah sedang mewarnakan lakaran mural yang telah siap dilakar oleh Encik Nubaili dengan berhati-hati.




Murid-murid sedang khusyuk mewarnakan poster 1 Malaysia mengikut daya kretiviti masing-masing bagi mencantikkan poster mereka.




Program Ihya' Ramadan PPKI SKPP 1432H

Program Ihya' Ramadan adalah satu program yang dirancang untuk murid-murid PPKI bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan. Pelbagai aktiviti yang berbentuk ilmiah dan interaktif telah dijalankan sepanjang program. Ia juga sebahagian satu medium untuk menjalinkan hubungan sesama insan, serta merupakan sumbangan ke arah mewujudkan suasana keislaman. Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan adalah program membudayakan al-Quran, tazkirah berkaitan dengan bulan Ramadan,  pertandingan tilawah dan hafazan surah-surah lazim, pertandingan azan dan iqamah, pertandingan marhaban, pertandingan tulisan jawi dan pertandingan buku skrap (adab makan dan minum & adab berpakaian). Murid-murid dibahagikan kepada empat kumpulan dan nama kumpulan diambil daripada sifat wajib bagi Rasul iaitu Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatanah. Kumpulan Tabligh telah menjuarai pertandingan yang telah dijalankan sepanjang program Ihya' Ramadan 1432H dan hadiah disampaikan pada Majlis Sambutan Hari Raya PPKI SKPP 2011.

Muhd Azraazizi daripada kumpulan Siddiq sedang menghafal surah al-Fatihah dan surah pilihannya di hadapan Ustazah Khairani

Kumpulan Tabligh memperdengarkan alunan marhaban di hadapan  rakan-rakan dan pengadil pertandingan.


Muhammad Shafik daripada kumpulan Amanah sedang khusyuk menyiapkan tulisan jawinya.

Setiap ahli kumpulan Fatanah sedang giat menyiapkan tugasan yang telah diamanahkan oleh ketua kumpulan mereka untuk menghasilkan buku skrap yang bertajuk 'Adab Makan'.


Salmon Nizam daripada kumpulan Siddiq sedang membaca surah al-Fatihah, surah al-Nas, surah al-Falaq dan surah al-Ikhlas bagi pertandingan tilawah surah-surah lazim.

Muhammad Azeri daripada kumpulan Amanah sedang melaungkan azan dengan suara yang lantang dan penuh keyakinan.